PORT DICKSON: Tindakan 10 remaja yang tidak mengendahkan peraturan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan terlibat dalam aktiviti parti liar dan penyalahgunaan dadah memakan diri apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah aparment di Telok Kemang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah bilik di apartmen tersebut pada pukul 9 pagi dan menahan 10 remaja yang terdiri daripada enam lelaki dan empat perempuan.
“Kesemua remaja berusia antara 15 tahun hingga 17 tahun itu ditahan kerana disyaki memiliki cecair dipercayai dadah berbahaya.
“Selain itu, remaja yang berasal dari Selangor iaitu Kajang, Bangi dan Sepang itu turut dikompaun setiap seorang kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard PKP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aidi Sham, kesemua remaja tersebut yang masih di bawah umur dikompaun kerana tidak mengamalkan norma baharu dengan berkumpul dalam ‘private party‘ iaitu parti secara tertutup yang mana sukar untuk mengawal perilaku mereka.
“Mereka juga mungkin menjadi kontak rapat kerana berada dalam tempat sama untuk jangka masa panjang.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas rokok elektronik dan botol bewarna hitam masing-masing disyaki mengandungi cecair dipercayai dadah berbahaya seberat 0.1 gram,” katanya.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua remaja terbabit negatif dadah dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau. – UTUSAN ONLINE