Wanita Nepal maut ditikam rakan senegara - Utusan Malaysia

Wanita Nepal maut ditikam rakan senegara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pergaduhan antara dua warga Nepal di sebuah restoran mengundang padah apabila seorang daripada mereka maut setelah ditikam di bahagian leher dalam kejadian di Jalan Kepayang di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu, wanita berusia 30-an yang merupakan pekerja sambilan restoran itu maut di lokasi kejadian selepas ditikam dengan pisau.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata,
sepasukan polis ditugaskan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan berhubung pergaduhan tersebut.

Menurutnya, setibanya di lokasi, polis menemukan seorang wanita terbaring dengan berlumuran darah di restoran itu.

“Terdapat seorang lelaki berusia 30-an juga warga Nepal terbaring dalam keadaan mabuk.

“Polis menahan lelaki terbabit dan membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk ujian kesihatan.

“Turut ditemukan di lokasi kejadian adalah pisau yang dipercayai digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan membawa kepada penahanan empat lagi individu warga Nepal yang merupakan pelanggan dan penjaga restoran itu.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia 30-an kini di ditahan reman empat hari manakala lelaki yang dirawat di HTAR Klang pula tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Buat masa ini, kita sedang siasat punca kejadian. Bagaimanapun, dengan tertangkapnya kesemua suspek, kes dianggap selesai,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN