Wanita ‘berusia’ mangsa tertinggi Macau Scam - Utusan Malaysia

Wanita ‘berusia’ mangsa tertinggi Macau Scam

ZAINUDDIN Yaacob (duduk, tengah) menyaksikan pertukaran jawatan antara Abdul Majid Mohd. Ali (kanan) dan Mat Kasim Karim pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Melaka dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, Melaka hari ini. UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lebih 3,000 wanita dengan kebanyakan berusia 51 tahun ke atas menjadi mangsa penipuan Macau Scam di seluruh negara dengan nilai kerugian mencecah RM256 juta dalam tempoh Januari sehingga Oktober tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 5,218 kes penipuan Macau Scam dengan 2,676 kes berjaya ditumpaskan.

Katanya, kebanyakan wanita berusia menjadi mangsa penipuan selepas menerima ugutan palsu oleh pemanggil yang kononnya akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk dilokap, ditangkap dan harta mereka dirampas.

“Kita berkali-kali mengingatkan orang ramai mengenai penipuan Macau Scam ini, namun kes ini terus meningkat dengan lebih 3,000 wanita berusia 51 tahun dan ke atas menjadi mangsa.

“Pada kebiasaannya mangsa yang tertipu berada dalam keadaan tertekan dan takut dengan ugutan akan ditangkap dan dilokap, selain risau harta dirampas di bawah tindakan undang-undang tertentu seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Melaka dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.

Tambah Zainuddin, orang ramai diingatkan untuk tidak mempercayai sebarang panggilan kononnya menyambungkan talian antara polis atau pejabat mahupun agensi kerajaan lain yang dibuat untuk meyakinkan mangsa.

“Orang ramai kena tahu, kita tidak mempunyai kemudahan untuk menyambungkan panggilan dari satu agensi ke agensi lain.

“Contohnya panggilan menyamar sebagai polis dan kemudian membuat jalan cerita memindahkan talian ke LHDN dan sebagainya untuk menyakinkan mangsa membuat pindahan wang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini sebanyak 1,420 kes Macau Scam sudah dituduh di mahkamah di seluruh negara.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali dilantik sebagai Ketua Polis Melaka yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Mat Kassim Karim yang akan bertugas di Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan baharu bagi menggantikan Abdul Majid. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN