PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan membuat pertukaran Jadual Imunisasi Kebangsaan untuk Kanak-Kanak melibatkan semua Klinik Kesihatan di bawah kementerian itu di seluruh negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia susulan pertukaran jenis vaksin iaitu vaksin kombinasi lima serangkai ditukar kepada vaksin kombinasi enam serangkai di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak.
Katanya, pelaksanaan pertukaran itu secara berperingkat seawal bulan ini bergantung kepada ketersediaan bekalan vaksin berkenaan di fasiliti kesihatan kementerian.
“Vaksin kombinasi lima serangkai (pentavalent DTaP-IPV//Hib) mula digunakan sejak 2008 di lapan negeri dan diperluas ke seluruh negara pada 2010.
“Vaksin tersebut diberikan bagi mencegah penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis dan jangkitan Haemophilus influenzae type b. Ia diberi sebanyak tiga dos primer pada usia dua bulan, tiga bulan dan lima bulan serta satu dos penggalak (booster) pada umur 18 bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noor Hisham, Vaksin Hepatitis B monovalent pula diberikan untuk mencegah penyakit Hepatitis B sejak tahun 1989 dan diberikan sebanyak tiga dos semasa lahir, pada umur satu bulan dan enam bulan.
Katanya, vaksin enam serangkai diberikan untuk mencegah enam jenis penyakit iaitu penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, jangkitan Haemophilus influenzae type b dan Hepatitis B.
Jelas beliau, sebanyak empat dos vaksin enam serangkai diberikan kepada setiap kanak-kanak pada usia dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan.
“Di samping itu, vaksin Hepatitis B selepas lahir akan terus diberikan manakala vaksin Hepatitis B yang sebelum ini diberikan pada umur satu bulan dan enam bulan tidak perlu lagi diberikan kerana komponen vaksin Hepatitis B sudah terkandung dalam vaksin kombinasi enam serangkai.
“Ini bermakna, bilangan suntikan untuk mencegah enam jenis penyakit itu dapat dikurangkan dari tujuh suntikan kepada lima suntikan susulan pertukaran vaksin ini sekali gus memudahkan ibu bapa memastikan anak-anak diberikan suntikan vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Noor Hisham memberitahu, vaksin enam serangkai adalah selamat dan berkesan dan pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global menunjukkan sehingga 20 Oktober lalu, terdapat 49 negara bertukar kepada vaksin enam serangkai itu dalam Program Imunisasi Kebangsaan mereka.
Beliau berkata, seperti vaksin-vaksin lain yang berdaftar di Malaysia, kesan susulan imunisasi vaksin tersebut dipantau Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan sejak ia digunakan di fasiliti kesihatan swasta di negara ini, sekali gus tiada sebarang isu keselamatan serius dilaporkan.
“Walaupun vaksin enam serangkai digunakan di fasiliti kesihatan swasta di negara ini sejak 2013 dan terbukti selamat, namun ia merupakan vaksin yang baharu digunakan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan.
“Maka, Kementerian akan menjalankan pemantauan kesan selepas setiap dos suntikan itu dan ibu bapa perlu melaporkan sebarang kesan yang dialami anak mereka kepada anggota kesihatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE
habis