UPKK 2020 dibawa ke tahun depan - Utusan Malaysia

UPKK 2020 dibawa ke tahun depan

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) untuk murid tahun 5 yang ditangguhkan tahun ini akan dibawa kepada 4 hingga 7 Oktober tahun depan.

Perkara tersebut diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, calon yang sepatutnya menduduki ujian dikelolakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu pada tahun ini akan disekalikan bersama murid tahun 5 tahun 2021.

“Jakim membuat keputusan bahawa UPKK itu melibatkan subjek bertulis bagi Ulum Syariah iaitu Aqidah dan Ibadah, Sirah, Jawi dan Khat, Adab serta Lughah Al-Quran,” jelas beliau.

Sementara penilaian amali bagi mata pelajaran Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam ujarnya, akan mengambil kira sebarang catatan penilaian sebagai bentuk penilaian.

Ia meliputi sepanjang sesi persekolahan dan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk ujian bulanan, aktiviti dalam dan luar kelas serta pengajaran di rumah.

“Mata pelajaran al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah, Hafazan serta Tafsir kitab suci itu akan dilaksanakan dari 1 hingga 30 September 2021,” jelas Zulkifli.

Namun katanya, jadual pelaksanaan bagi ujian bertulis, amali dan lisan akan dimaklumkan kelak bagi membolehkan calon UPKK mempunyai tempoh pembelajaran yang mencukupi.

Pelaksanaan ujian serentak kepada calon tahun 5 dan 6 pada 2021 tegas beliau, tidak akan menjejaskan penilaian ke atas tahap penguasaan murid terlibat setelah mengikuti pendidikan KAFA.

“Pihak Jakim mengambil perhatian harapan ibu bapa terhadap pencapaian anak mereka dan bagi tujuan ini, pemakluman adalah untuk membantu agensi bertanggungjawab,” katanya.

Pihak terbabit dengan UPKK di setiap negeri kata Zulkifli, akan turut membuat perancangan, pembelajaran dan persediaan rapi setiap calon sebelum menduduki peperiksaan berkenaan.

Pada 17 April lalu, beliau mengumumkan pembatalan UPKK untuk tahun ini yang sepatutnya dari 28 September hingga 1 Oktober lepas susulan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Ia juga selaras dengan pengumuman Menteri Kanan (Pendidikan), Dr. Radzi Jidin sebelum itu yang membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SPVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ditunda kepada suku pertama 2021. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN