KUALA KRAI: Penantian 2,000 penduduk Kampung Pemberian dan Kampung Manjor di sini yang menggunakan jambatan besi sementara lebih 50 tahun berakhir dengan pembinaan jambatan konkrit kekal.
Jambatan baharu 240 meter menelan belanja RM30 juta siap dan dibuka kepada orang ramai tiga bulan lalu.
Seorang penduduk, Mohamad Deris, 70, berkata, sebelum ini mereka menggunakan bot atau perahu untuk menyeberangi sungai sekiranya jambatan sementara itu ditenggelami air sungai.
Malah katanya, terdapat motosikal penduduk terjatuh ke dalam sungai itu kerana faktor saiz jambatan yang sempit.
“Kami bersyukur dapat jambatan baharu dan tidak perlu bergadai nyawa melalui jambatan lama yang uzur dan tidak stabil.
“Setiap kali musim tengkujuh paling menyusahkan kerana jambatan besi akan tenggelam selama beberapa hari sehingga kami terputus hubungan dengan tanah seberang,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Komuniti Kampung Pemberian, Nordin Hashim berkata, jambatan konkrit berketinggian 30 meter itu mula dibina pada 2017.
Katanya, jambatan baharu dua lorong itu membolehkan mereka melaluinya setiap hari tanpa bimbang sekali gus dapat melakukan aktiviti harian dengan lancar.
“Selain sebagai laluan utama menghantar anak ke sekolah dan ke bandar, jambatan itu penting untuk kami memasarkan hasil pertanian.
“Baru-baru ini kami menyembelih dua ekor lembu untuk diagihkan kepada penduduk kampung sebagai tanda kesyukuran mendapat jambatan baharu,” katanya.
Sebelum ini Utusan Malaysia sering melaporkan keluhan penduduk kampung terbabit yang sering terputus hubungan gara-gara jambatan besi sementara kerap kali ditenggelami air sungai, terutama musim tengkujuh. – UTUSAN