Tukang kimpal dijel 12 bulan rodok perut anjing  - Utusan Malaysia

Tukang kimpal dijel 12 bulan rodok perut anjing 

S. Surais dibawa keluar dari bangunan Mahkamah Majistret Jasin di Melaka, semalam selepas dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Tindakan tidak berperikemanusiaan seorang tukang kimpal merodok perut seekor anjing sehingga usus haiwan itu terburai minggu lalu terbalas apabila dia dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Suzana Mokhtar menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S. Surais, 38, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Surais didapati dengan sengaja melakukan khianat dengan membunuh seekor anjing milik G.N.M. Pusparani, 50, menggunakan senjata tajam kira-kira pukul 9.30 malam di sebuah rumah di Jalan Teratai, Taman Maju pada 5 November lalu. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Tertuduh juga didapati dengan sengaja melakukan pencerobohan dengan memasuki rumah pemilik anjing tersebut pada waktu dan tarikh yang sama. 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan. 

Terdahulu, Surais yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dalam bentuk denda diberikan dengan alasan anjing sama pernah mengejarnya sehingga menyebabkannya terjatuh dari motosikal ditunggangi dan mengalami kecederaan.

Tertuduh turut mengakui dia juga ada memelihara seekor anjing di rumahnya. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd. Yunos memohon hukuman penjara diberikan dengan mengambil kira faktor tidak berperikemanusiaan tertuduh, selain haiwan itu terseksa lebih lima jam menanggung kesakitan. 

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati telah menikam anjing tersebut beberapa kali di bahagian perut sehingga terkeluar usus. Anjing malang itu disahkan mati pada pukul 2.45 di sebuah pusat veterinar semasa dirawat. 

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Suzana kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan membunuh haiwan dan empat bulan atas kesalahan menceroboh. 

Beliau bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap Khamis lalu. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya