Trauma diserang sekumpulan pemuda buat bising - Utusan Malaysia

Trauma diserang sekumpulan pemuda buat bising

NOORZAINY MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Hanya kerana menegur sekumpulan pemuda yang memasang muzik terlalu kuat, sebuah keluarga di kawasan flat di Taman Bagan di sini berdepan detik menakutkan selepas diserang kumpulan lelaki itu di rumah mereka, malam tadi.

Lebih malang, dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, seorang lelaki berusia 56 tahun turut cedera di kepala selepas dipukul dengan besi oleh salah seorang suspek yang menyerang rumahnya di tingkat dua flat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang merupakan pengawal keselamatan mendakwa rumahnya didatangi sekumpulan lima hingga enam lelaki berusia awal 20-an dalam keadaan marah sambil membawa beberapa senjata tumpul.

“Ketika itu suspek mencari anak lelaki mangsa namun dia tiada di rumah dan dia dipukul selepas menegur suspek untuk bercakap dengan lebih sopan dengan orang tua.

“Melihat kejadian itu, isterinya menarik mangsa dan mengunci pintu gril, namun suspek sempat menjolok senjata dari celah gril sehingga terkena kepala dan pipi mangsa yang menyebabkan luka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek turut bertindak merosakkan sebuah motosikal milik anak mangsa yang diletakkan di bawah flat sehingga pecah kepada beberapa bahagian.

Menurut Noorzainy, susulan itu, polis menahan sembilan lelaki berusia 19 hingga 22 tahun selain merampas barangan dipercayai sebagai senjata seperti topi keledar, kayu hoki, batang besi dan kayu panjang selepas menerima laporan.

“Siasatan mendapati suspek tidak berpuas hati selepas anak lelaki mangsa menegur mereka kerana memasang muzik terlalu kuat pada malam Jumaat lalu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN