Tokoh politik, Khalid Abdullah meninggal dunia - Utusan Malaysia

Tokoh politik, Khalid Abdullah meninggal dunia

KHALID ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tokoh politik veteran Kedah yang juga bekas Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Khalid Abdullah meninggal dunia di Kedah Medical Centre (KMC), di sini akibat sakit tua, hari ini.

Khalid, 98, menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Puan Sri Norjannah Khairuddin, 61, pada pukul 5.50 pagi setelah dimasukkan ke hospital swasta itu sejak Ahad lepas.

Menurut Norjannah, Allahyarham yang juga bekas Exco dan wakil rakyat Kedah menerima rawatan setelah mengadu kurang sihat dan kepenatan.

“Sejak Ahad lepas, arwah tidak lalu makan dan minum menyebabkan beliau keletihan lalu kami bawa ke KMC, kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Selasa lepas, arwah dimasukkan ke wad biasa kerana keadaannya semakin pulih. Tetapi awal pagi ini kira-kira pukul 5 pagi, doktor kata kesihatan bertambah buruk dan saya berada di sini sampai nafas terakhirnya,” katanya ketika ditemui di Masjid Al Hussain Seberang Pumpong di sini hari ini.

Jenazah dikebumikan di masjid yang dibina beliau itu selepas waktu solat Zuhur hari ini bersebelahan kubur arwah ibu bapa, isteri pertama serta anak keduanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, lima anak, 17 cucu dan 24 cicit.

Menurut Norjannah, Allahyarham tidak menunjukkan seberang tanda sebelum meninggal dunia namun pernah berseloroh mengatakan ajalnya mungkin sudah sampai.

“Arwah pernah kata kalau meninggal janganlah bagi orang datang ramai-ramai sangat mungkin yang dimaksudkan keadaan pandemik sekaranglah yang tidak boleh ramai berhimpun.

“Allahyarham minta dikebumikan di sini di samping anggota keluarga yang lain,” katanya.

Sementara itu bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bahshah Md. Hanipah yang ditemui ketika melawat jenazah Allahyarham memberitahu, pemergiannya sangat dirasai memandangkan jasa-jasa beliau kepada negeri ini ketika memegang jawatan sebagai Exco dan wakil rakyat di Alor Merah di sini.

“Allahyarham Khalid sangat berjasa terutama kepada UMNO. Kehilangan beliau sebagai tokoh politik veteran sangat dirasai,” katanya.

Selain tokoh politik disegani dengan pembabitan dengan parti Saberkas pada 1948, Allahyarham juga tokoh korporat terkenal di negeri ini dan pernah memegang jawatan Pengarah di Pernas International Holdings sehingga 2001 sebelum menyertai Utusan Melayu (M) Bhd. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya