Tidak serik curi kabel, langgar anggota polis - Utusan Malaysia

Tidak serik curi kabel, langgar anggota polis

MOHD. Khaizam Ahmad Shahabudin (tengah) menunjukkan kabel yang dicuri dalam sidang akhbar di Sungai Siput, Perak, hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Tidak serik melakukan jenayah, seorang lelaki yang mempunyai 16 rekod lampau sekali lagi ditangkap selepas disyaki mencuri kabel di pencawang telekomunikasi dekat Ladang Changkat Salak di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 38 tahun itu diberkas dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada pukul 4.20 petang.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, semasa polis tiba di lokasi kejadian, suspek yang baru selesai mencuri kabel melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Katanya, suspek yang tidak mengendahkan arahan memberhentikan motosikalnya kemudian melanggar seorang anggota polis berpangkat koperal.

“Tindakan suspek itu bagaimanapun membawa padah apabila motosikal ditunggangnya terbabas dan masuk ke dalam parit berhampiran laluan masuk ke pencawang berkenaan.

“Pemeriksaan pada motosikal suspek menjumpai 98 batang kabel yang dipotong di dalam bakul selain peralatan digunakan untuk memotong kabel dan sebilah pisau menyerupai kerambit,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sungai Siput, di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Khaizam, siasatan mendapati nilai kabel yang dicuri suspek berjumlah RM200,000 dan lelaki terbabit dipercayai turut terlibat dalam sembilan kes kecurian kabel di daerah ini.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampethamine dan morfin serta mempunyai 16 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Suspek direman lima hari hingga Rabu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Tangkapan ke atas suspek yang bekerja di kedai barang terpakai itu menyelesaikan sembilan kes kecurian kabel dan pecah pencawang di daerah Sungai Siput,” katanya.

Tambah beliau, anggota polis yang dilanggar suspek mengalami kecederaan ringan luka di siku kanan dan terseliuh pergelangan kaki kiri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN