KUANTAN: Hendak pinjam RM20,000 untuk membayar hutang kad kredit tetapi akhirnya seorang kerani akaun kerugian RM20,300 ditipu lelaki menyamar pegawai bank.
Kerani wanita berusia 42 tahun itu mula berurusan dengan suspek awal bulan ini selepas tertarik melihat iklan pinjaman peribadi yang disiarkan di laman sesawang menyerupai pautan web sebuah bank ternama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa mengisi nombor telefon dalam borang ringkas di laman web itu sebelum dihubungi suspek.
“Pada 3 November lalu, mangsa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki menyamar pegawai bank dan menawarkan pinjaman segera.
“Mangsa berminat meminjam RM20,000 dan diminta menyerahkan salinan kad pengenalan, penyatan akaun bank dan beberapa dokumen lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Wazir, suspek sekali lagi menghubungi mangsa berselang seminggu dan memaklumkan permohonan pinjaman tersebut telah lulus.
“Mangsa membuat semakan akaun dan mendapati ada kemasukan wang sejumlah RM20,000 tetapi masih terapung. Wanita itu kemudian diminta membayar beberapa caj.
“Sebanyak tujuh transaksi dilakukan ke dalam empat akaun milik individu berlainan sehingga 13 November lalu, namun wang pinjaman tersebut belum diperoleh,” katanya.
Wanita berkenaan membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE