Terharu dapat bercakap dengan Tengku Permaisuri Selangor - Utusan Malaysia

Terharu dapat bercakap dengan Tengku Permaisuri Selangor

NOOR Hidayu Aziz menyampaikan sumbangan peribadi Tengku Permaisuri Norashikin berupa motosikal kepada Nur Athirah Abdul Latiff. - IHSAN FACEBOOK SELANGOR ROYAL OFFICE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Nasib malang seorang penghantar makanan yang kehilangan motosikal ketika sedang mengambil makanan sebelum dihantar kepada pelanggan mendapat perhatian Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada Nur Athirah Abdul Latiff dengan memberikan motosikal jenis sama kepada mangsa.

Dalam kenyataan dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Selangor Royal Office, baginda menzahirkan rasa sedih dan terharu apabila membaca berita yang tular mengenai nasib malang Nur Athirah.

“Di waktu kita semua sedang diuji dengan pelbagai dugaan ketika ini amat berharap agar masyarakat di luar sana lebih bersifat perikemanusiaan dan bertimbang rasa antara satu sama lain.

“Diharap dengan sumbangan ini Nur Athirah akan dapat kembali meneruskan kerja harian dengan sempurna seterusnya membantu keluarga.

“Beta turut mendoakan agar sekalian rakyat terus dimurahkan rezeki dan sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT,” titah baginda.

Terdahulu, sumbangan motosikal itu disampaikan JuruIring Polis (ADC) Tengku Permaisuri Selangor, Inspektor Noor Hidayu Aziz.

Sementara itu, Nur Athirah,23, ketika dihubungi Mingguan Malaysia berkata, dia terharu apabila dimaklumkan bahawa Tengku Permaisuri Selangor ingin menyampaikan bantuan dengan menggantikan motosikalnya yang hilang.

Malah, anak kedua daripada tiga beradik itu juga tidak menyangka dapat bercakap dengan Tengku Permaisuri Norashikin melalui telefon kira-kira tiga minit.

“Sewaktu penyerahan motosikal, pihak Istana Selangor ada memaklumkan bahawa Tengku Permaisuri Norashikin ingin bercakap dengan saya. Tengku Permaisuri Selangor bertanyakan khabar, memberi nasihat termasuk jangan sia-siakan ibu dan memaklumkan bahawa sumbangan yang diberikan kepada saya hanya bantuan kecil.

“Bagaimanapun, bagi saya sumbangan yang diberikan amat bermakna kerana dengan adanya motosikal ini dapat meneruskan kerja dan membantu menyara keluarga. Ini kerana dalam keluarga, selain ibu berniaga kecil-kecilan, hanya saya sahaja yang bekerja sementara kakak dan adik sedang belajar.

“Saya akan sentiasa mengingati pesanan Tengku Permaisuri Norashikin dan bersyukur dengan sumbangan yang diberikan.” katanya.

Mengulas lanjut, Nur Athirah berkata, dia tiada niat langsung untuk meminta bantuan daripada mana-mana pihak ketika memuat naik status di Facebook, sebaliknya hanya berkongsi rasa sedih kerana kehilangan motosikal yang baru dibelinya selain tidak dapat bekerja.

“Bagaimanapun, saya amat berterima kasih atas keprihatinan orang ramai yang ingin memberikan bantuan. Sehingga hari ini, saya masih menerima beberapa panggilan untuk membantunya termasuk memberikan motosikal baharu.

“Pelbagai bentuk bantuan yang saya terima termasuk meletakkan alat keselamatan di motosikal yang baharu diterima,” ujarnya.

Terdahulu, kisah Nur Athirah tular di laman sosial Facebook dan memohon bantuan orang ramai mengesan motosikal Yamaha 135LC miliknya dengan nombor plat BQF2182 yang hilang di hadapan sebuah pasar raya Batu Caves, dekat sini baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN