Terengganu agih pencen warga emas Julai 2021 - Utusan Malaysia

Terengganu agih pencen warga emas Julai 2021

HANAFIAH MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Insentif pencen warga emas untuk rakyat berpendapatan rendah yang terkandung dalam manifesto Pas negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal dilaksanakan Julai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya kini dalam usaha mengumpul senarai penerima dan proses itu dijangka selesai pada April 2021.

Katanya, jumlah peruntukan bagi program yang dirintis untuk mensejahterakan rakyat itu akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada pembentangan Belanjawan Terengganu 2021, Isnin ini.

“Bantuan pencen sebanyak RM50 sebulan itu dibayar secara one-off bernilai RM600 setahun kepada mereka yang layak bermula Julai tahun depan.

“Warga emas berusia 60 tahun yang menepati syarat boleh mendapatkan borang permohonan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebelum akhir bulan depan,” katanya di sini hari ini.

POSTER insentif pencen warga emas.

Menurut Hanafiah, permohonan terbuka kepada ketua isi rumah yang merupakan anak negeri atau kalangan bermastautin melebihi 15 tahun dengan pendapatan isi rumah bawah RM3,000 perkapita.

Katanya, antara syarat lain ialah bukan penerima pencen di samping bantuan bulanan daripada agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan lain-lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN