KUALA LUMPUR: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggariskan enam perancangan gerak kerja dalam tempoh 15 tahun akan datang menerusi Agenda Bertindak 2.0 bagi memperkasakan agenda parti itu.
Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sayap parti itu akan memperkukuhkan parti dengan menambahkan bilangan ahli sehingga 200 peratus di semua peringkat dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.
“Srikandi akan memperluaskan jaringan kemasyarakatan akar umbi seperti mengadakan program kolaborasi bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan swasta semua seluruh rakyat mengenali sayap parti itu.
“Selain itu, Srikandi akan menubuhkan paltform Srikandi Muda dalam mengemudi anak muda ke puncak kejayaan. Ini adalah penting untuk kita melatih bakal pemimpin, pelapis kita sejak awal lagi,” katanya semasa Ucapan Dasar Ketua Srikandi sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu secara maya di sini hari ini.
Beliau antara lain berkata, akan meningkatkan penyertaan wanita dan Srikandi dalam penggubalan dan dasar kerajaan seperti melahirkan lebih ramai wakil rakyat dari Srikandi Bersatu dan membentuk wanita yang profesional seperti usahawan.
Malah, sayapnya akan menggerakkan program bertemakan pendidikan, kesihatan, undang-undang, kebajikan, alam sekitar, keagamaan, wanita, kesenian, kebudayaan, kekeluargaan dan kemasyarakatan bagi membudayakan ilmu dan menambah kemahiran Srikandi.
“Suara Srikandi yang mewakili wanita didengari dalam isu-isu berorientasikan kepentingan rakyat, agama, bangsa dan tanah,” katanya. – UTUSAN ONLINE