YAN: Tindakan seorang lelaki disyaki suspek kes pecah rumah bersembunyi di kawasan semak selepas dikejar penduduk kampung hanya sia-sia apabila ditahan polis dalam kejadian di Kampung Pasir di Guar Chempedak, dekat sini hari ini.
Suspek berusia 22 tahun itu ditahan bersama beg silang mengandungi beberapa barangan termasuk wang tunai sebanyak RM100 dipercayai hasil pecah rumah selain sebilah pisau kira-kira pukul 1.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, suspek dipercayai memecah masuk sebuah rumah di kampung tersebut dengan menggumpil tingkap di ruang dapur.
Katanya, kegiatan jahat suspek bagaimanapun disedari anak pemilik rumah, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang ketika kejadian sedang menonton televisyen di ruang tamu.
“Dia kemudian menjerit dan memaklumkan kejadian kepada abangnya yang tidur di sebuah bilik.
“Suspek terus melarikan diri dan dia kemudian dikejar abang kepada remaja perempuan itu, disusuli penduduk kampung yang menyedari kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Shahnaz, suspek cuba bersembunyi di dalam semak, namun dia dikesan penduduk kampung sebelum ditahan polis.
Tambahnya, suspek yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang adalah orang yang masih di bawah pengawasan dan sekatan untuk tempoh dua tahun mengikut Seksyen 15(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959.
“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE