KUALA TERENGGANU: Keluarga Siti Nor Surya Ismail, 19, yang mati dibunuh di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong di Hulu Terengganu mengakui sukar memaafkan perbuatan individu yang didakwa membunuh insan tersayang mereka.
Bapanya, Ismail Muda, 58, berkata, sehingga kini pihak keluarga suspek belum lagi bertandang ke rumah mereka, bahkan tiada sebarang permohonan maaf diterima daripada mereka.
“Maaf bukan perkara main-main dan perlu dibuat dengan hati yang terbuka serta ikhlas, jadi kalau pihak keluarga suspek tidak ke sini bagaimana kami mahu memaafkan perbuatan tersebut?
“Sekali pun mereka ke sini, saya tidak pasti sama ada kami dapat memaafkan atau tidak kerana cara kematian anak saya itu bukan biasa-biasa.
“Kalau ini kes kecurian barang atau menyebabkan kecederaan kepada keluarga, bolehlah saya bertolak-ansur dan saya pasti mana-mana ibu bapa pun sukar untuk memaafkan dengan mudah jika mereka berada di tempat saya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ismail berkata, dia dan keluarga masih terkesan dengan kehilangan mengejut Siti Nor Surya yang merupakan harapan keluarga dalam menjaga isterinya, Zaini Muda, 55, yang menderita sakit kanser otak.
Air mata bapa kepada tujuh anak itu juga sesekali mengalir jika bercerita tentang Allahyarham puterinya yang mesra dipanggil kakak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, pihaknya menjumpai sebilah pisau yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kes pembunuhan Siti Nor Surya.
Katanya, senjata tajam itu ditemukan di tepi Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Telemong, kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian dan dipercayai diambil dari rumah mangsa sebelum dicampakkan ke lokasi tersebut.
Dalam kejadian Ahad lalu, Siti Nor Surya ditemukan mati dalam keadaan tertiarap dengan pergelangan tangan kirinya putus di ruang tamu rumahnya di Kampung Lubuk Batu.
Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang merupakan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE