BATU PAHAT: Kehidupan tujuh sekeluarga dari Sri Gading, di sini dihimpit ujian apabila dua daripada mereka menghidap penyakit jantung berlubang.
Azlin Ahmad, 34, berkata, suaminya Mohd. Faizul Redzuan Abd Malik, 35, dan anak perempuan kedua mereka, Rabiatul Syakilyn, 7, perlu mendapatkan rawatan ekoran penyakit berkenaan dengan kos perbelanjaan yang tinggi.
Selain Rabiatul Syakilyn yang mesra dipanggil Rubi, pasangan berkenaan mempunyai empat lagi anak berusia sebulan hingga 16 tahun.
Katanya, sejak lahir, Rabiatul Syakilyn terpaksa berulang alik dari Segamat ke Johor Bahru sebelum dia dan suami memutuskan menghentikan rawatan anaknya itu pada 2014.
“Sejak dahulu kalau anak kedua ini ada pemeriksaan kesihatan di Johor Bahru, saya tebalkan muka meminta sedikit sumbangan dari rakan-rakan atau penduduk sekitar.
“Ini bagi menampung perbelanjaan sewa kereta, kos perjalanan serta makan dan minum,” katanya ketika ditemui pemberita rumah mereka hari ini.
Menurut Azlin, meskipun dia dan suami risau dengan kesihatan Rabiatul Syakilyn yang semakin merosot, namun mereka hanya mampu berdoa agar tiada perkara buruk berlaku selain terus berusaha memberi kemudahan dan keselesaan buat kesemua anak-anaknya.
Dalam pada itu, Mohd. Faizul Redzuan, berkata, kehidupan mereka sekeluarga kini umpama sudah jatuh ditimpa tangga apabila penyakit jantung berlubang yang dialaminya sewaktu kanak-kanak kembali menganggu.
“Sejak-sejak akhir ini doktor memaklumkan bahawa injap jantung saya mula terbuka. Itu menyebabkan saya kerap demam dan sukar buat kerja berat.
“Atas alasan itu juga menyebabkan saya sukar diterima bekerja sejak dahulu. Banyak majikan tidak berani mengambil saya mungkin kerana bimbang saya akan kerap cuti sakit,” katanya.
Dia yang berasal dari Segamat berkata, mereka sebelum ini menjalankan perniagaan menu sarapan di tepi jalan.
Bagaimanapun, jualan yang dijalankan selama lebih setahun itu terpaksa dihentikan gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.
Terdahulu, nasib keluarga berkenaan mendapat perhatian Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit Othman, Pengurus Lions Club Batu Pahat, Richard Chan dan Ketua Armada Parit Sulong, Hussin Mohd Yunus. – UTUSAN ONLINE