Sindiket bekal ATM kepada Macau Scam - Utusan Malaysia

Sindiket bekal ATM kepada Macau Scam

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Satu sindiket dikesan membekalkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk dijual kepada sindiket penipuan Macau Scam, pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket berkenaan menyasarkan penagih dadah untuk dijadikan sebagai keldai akaun dengan bayaran sebanyak RM200 setiap kad ATM.

“Ketua sindiket mengupah ahlinya untuk mencari mangsa terutama penagih dadah. Mereka membawa mangsa ke bank untuk membuka akaun atas nama mereka.

“Bank akan menghubungi ketua sindiket untuk pengesahan yang mana mangsa kononnya bekerja di salah sebuah syarikat yang didaftarkan sindiket ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata, setelah akaun dibuka, ahli sindiket menyerahkan kad ATM kepada ketua mereka sebelum ahli diupah RM100 dan mangsa dibayar sebanyak RM200 untuk satu kad beserta nombor pin.

Jelasnya, ketua sindiket menjual kad ATM tersebut kepada tiga sindiket penipuan iaitu Macau Scam, pinjaman serta pelaburan tidak wujud.

Beliau memaklumkan, kegiatan itu dihidu polis setelah 10 ahli diberkas dalam dua serbuan berasingan di Taman Perling dan Tampoi di sini, Rabu lalu.

“Kesemua 10 individu warga tempatan termasuk tiga wanita yang ditahan itu berusia lingkungan 19 tahun hingga 41 tahun.

“Tangkapan ke atas 10 individu itu tidak termasuk dalang sindiket berkenaan iaitu Muhammad Raif Lee Abdullah, 38, atau lebih dikenali sebagai Allan atau Frankie yang masih bebas,” katanya.

Menurut Ayob Khan, sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak Februari lalu terlibat dalam 91 kes di seluruh negara membabitkan kerugian RM3.74 juta.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu dan mengesan kedudukan ketua sindiket yang dipercayai melarikan diri dan alamat terakhir ialah No 03-07 Blok 3, Jalan Mewah Ria 2/2, Taman Bukit Mewah, Johor Bahru.

“Kita juga sedang siasat sama ada terdapat penglibatan orang dalam (pegawai bank) bagi kegiatan sindiket berkenaan.

“Orang ramai mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkan informasi kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Johor, Asisten Superintenden Timmy Anak Aheng ditalian 0197773728,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN