'Sifar’ pengunjung, ‘sifar’ pendapatan - Utusan Malaysia

‘Sifar’ pengunjung, ‘sifar’ pendapatan

KEADAAN Pasar Seni di Kuala Lumpur yang lengang dan banyak kedai ditutup akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terus dibuka, tetapi tiada pengunjung atau pelanggan.

Itu dilema yang dihadapi peniaga dan penjaja di Pasar Seni, di sini atau popular dengan panggilan CM (Central Market).

Biarpun masih dibenarkan berniaga dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP), ada dalam kalangan mereka mengaku ‘sudah tidak mampu bertahan’.

Tinjauan Utusan Malaysia ke pusat beli-belah ternama itu mendapati, hampir separuh daripada kedai di CM sudah ditutup.

Namun pihak pengurusan Pasar Seni memberitahu, kebanyakannya ditutup kerana tamat kontrak sewa dan ada juga terkandas di kawasan zon merah yang menyukarkan peniaga membuka perniagaan.

Menurut pihak pengurusan lagi, mereka terbuka mengadakan perbincangan bersama peniaga susulan kegusaran yang dihadapi mereka.

“Melihat kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), peniaga masih menjalankan perniagaan seperti biasa tetapi tiada pe­langgan,” katanya semalam.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Rosli Lazim, 41, berkata, mereka sudah mula hilang pelanggan sejak awal kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.

“Jika dulu Pasar Seni adalah tempat tarikan pelancong tetapi kini hanya sunyi tanpa pelanggan,” katanya.

Turut berkongsi masalah sama, Azimah Nasir, 30, penjual bara­ngan berasaskan batik yang mana sebelum PKP banyak barangannya terjual namun kini, hendak jual satu barang agak susah.

“Kadangkala jualan sehari nak cecah RM50 susah. Jadi kami sukar nak bayar sewa kedai,” katanya.

Sementara itu, peniaga memberitahu, pihak pengurusan memahami keadaan dengan memberikan potongan dan rebat sewa kepada setiap penyewa dan itu sudah membantu mereka meneruskan perniagaan.

Namun berbeza bagi peniaga barang cenderamata, Eugene Tan, 29, yang terpaksa menutup satu daripada tiga cawangan kedainya di Pasar Seni kerana tidak mampu membayar sewa.

“Tiada jualan dan pelanggan kami selalunya pelancong dari luar negara, tetapi sekarang memang tiada pelancong langsung,” katanya yang sudah berniaga di situ lebih 10 tahun.

Seorang pelukis, Azman Amin, 37, pula berkata, pihak pengurusan tidak hanya lepas tangan dan memandang serius kebimbangan mereka dengan membenarkan para peniaga menambah serta mempelbagaikan barangan jualan.

“Jika sebelum ini, setiap peniaga tidak boleh menjual barangan yang sama dengan peniaga lain tetapi kini kami sudah diberi pelepasan untuk berkongsi rezeki. Seperti saya sendiri kini tidak hanya mengambil tempahan melukis malah menjual cenderamata,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN