KUALA LUMPUR – Presiden Karyawan, Freddie Fernandez dan juga beberapa ahli Recording Performance Malaysia (RPM) memberi kata dua kepada presiden badan perlesenan tersebut, Datuk Sheila Majid agar segera melepaskan jawatan itu atau pihaknya bertemu sendiri dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Muhyiddin Yassin.
Menurut Freddie, dia nekad untuk bertemu dengan Perdana Menteri sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan kemelut royalti artis yang semakin rumit pada waktu ini.
“Baik Sheila termasuk semua lembaga pengarah RPM, just get out! Kalau tak nak berhenti, kami akan pergi kepada saluran tertinggi dalam negara.
“Jumpa perdana menteri terus untuk terangkan perkara ini dan saya yakin beliau dapat memahami situasi yang sedang berlaku ini,” katanya.
Freddie berkata demikian dalam sebuah sidang akhbar bagi membentangkan isu royalti yang diadakan di sebuah restoran di Bukit Damansara hari ini.
Menurut Freddie lagi, pihaknya tiada pilihan lain kerana dakwanya, sepanjang Sheila mengemudi RPM, kepimpinan penyanyi itu disifatkan ‘tidak bermaya’ sehinggakan kebajikan ahli-ahli terabai.
“Sekian kalinya saya mendesak dia untuk meletakkan jawatan namun kali ini saya bersama 114 ahli RPM yang telah menandatangan petisyen untuk benar-benar mendesak agar Sheila letak jawatan.
“Dalam keadaan ramai artis dan pemuzik hidup susah dan terjejas kerana pandemik Covid-19, tiada satu usaha daripada pihaknya untuk turun padang membantu atau peduli dengan nasib ahli.
“Isu royalti sangkut RM130 juta pun dia buat tak tahu. Mungkinlah dia hidup senang dan tak merasai kesusahan orang lain. Ini adalah satu akhlak dan sikap mementingkan diri dan bukan ciri seorang pemimpin bila mana ahli ramai terabai dan menderita tidak dibantu,” katanya.
Dalam pada itu, Freddie menggesa ahli-ahli Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) supaya mendaftar dan bergabung di bawah RPM dalam usaha menyelesaikan segala masalah berbangkit di bawah satu pengurusan.
“Apabila semua artis dan pengkarya bersatu di bawah RPM, maka lebih mudah urusan untuk soal royalti ini diselesaikan dengan syarat Sheila kena turun.
“Saya juga bercadang pemilihan presiden yang baru dibuat secara demokratik. Ahli berhak memilih siapa yang layak untuk menerajui kepimpinan RPM,” katanya.
Habis