PUTRAJAYA: Rakyat boleh mengemukakan cadangan dan pendapat mengenai hala tuju pembangunan masa depan negara menerusi sesi libat urus yang dilaksanakan dalam talian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, segala pandangan dijadikan sebagai input penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri sedang dalam proses akhir RMK-12 yang akan dibentangkan di Parlimen awal 2021,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata Mustapa, laman sesawang khas RMK-12 itu diwujudkan menerusi alamat http://rmk12.epu.gov.my/engagement mulai 18 November hingga 2 Disember ini.
Orang ramai, ujarnya, juga boleh berkongsi idea untuk pelan lima tahun dari 2021 hingga 2025 itu dengan tanda pagar #RMKe12 di platform media sosial Facebook, Twitter dan Instagram.
Katanya, asas penyediaan RMK-12 adalah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bagi pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan membina negara bermaruah.
“Kerajaan turut mempelawa pelbagai pihak termasuk sektor swasta, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi pandangan dengan tumpuan beberapa bidang,” katanya.
Tambah beliau, ia melibatkan langkah pemulihan semula ekonomi, menangani isu kemiskinan, pembangunan modal insan mahir, penerimaan penggunaan teknologi dan pendigitalan serta kelestarian alam sekitar.
Katanya, sesi libat urus pertama dibuat dari 5 November hingga 31 Disember tahun lalu dengan 188 maklum balas juga secara dalam talian diterima.
“Ia terdiri daripada 42 organisasi kerajaan, 30 organisasi swasta, 50 NGO, 14 pelajar dan 42 organisasi lain dengan merangkumi empat dimensi iaitu ekonomi, sosial, alam sekitar serta tadbir urus.
“Kerajaan prihatin dan berusaha memastikan RMK-12 yang sedang dalam peringkat akhir penyediaan, digubal untuk ekonomi negara kembali pulih dan berdaya saing,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE