Saya hanya ingat mati - Daud Kilau - Utusan Malaysia

Saya hanya ingat mati – Daud Kilau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: “Hanya ingat mati, syukur Allah SWT masih sayangkan saya’.

Itu kata penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau yang dikejarkan ke Hospital Teluk Intan di sini semalam selepas mengalami sesak nafas.

Menurutnya, beliau tidak pernah mengalami sesak nafas sebelum ini.

“Malam kelmarin semasa di rumah, sewaktu sedang berehat tiba-tiba saya rasa susah hendak bernafas.

“Mujur ada anak saya ketika itu yang menghantar saya ke klinik di Bagan Datuk. Selepas menjalani pemeriksaan, saya pulang ke rumah, namun masih susah hendak bernafas.

“Masa itu saya ingat sudah nak mati, saya bersyukur Allah SWT masih sayangkan saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Teluk Intan, Dr. Noor Azira Haron berkata, penyanyi veteran itu mengalami paru-paru berair dan masalah jantung.

“Selepas menjalani rawatan, beliau berada dalam keadaan stabil dan perlukan rawatan lanjut.

“Pihak hospital akan merujuk tahap kesihatan beliau di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.

Daud Kilau dimasukkan ke Hospital Teluk Intan pada pukul 3.15 petang semalam akibat sesak nafas.

Sebelum ini, penyanyi veteran itu pernah dirawat di hospital beberapa kali akibat masalah kesihatan yang dialaminya.

Kesihatan penyanyi yang terkenal dengan lagu lagu ‘Cek Mek Molek’ dan ‘Gila Judi’ itu semakin merosot sejak beberapa tahun lalu kerana menghidap kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil.

Keadaan itu juga menyebabkan beliau mengambil keputusan tidak lagi membuat persembahan pentas.

Malah, sejak kebelakangan ini penyanyi itu lebih banyak berbaring di rumahnya di Sungai Balai Baru, Bagan Datuk. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN