RANTAU PANJANG: Dua keluarga menjadi penghuni pertama pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh, di sini selepas kawasan rumah mereka ditenggelami air ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Difahamkan, mereka berpindah ke PPS terbabit petang ini secara sukarela tanpa perlu menunggu arahan berbuat demikian oleh pasukan penyelamat.
Tindakan dua keluarga itu mendapat pujian Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif yang menyifatkannya sebagai langkah bijak dan memudahkan tugas pasukan penyelamat.
Menurutnya, tindakan itu sememangnya dialu-alukan tanpa menunggu arahan dari pasukan penyelamat.
“Walaupun air hanya berada di bawah rumah, namun mereka ambil langkah awal dengan berpindah keluar ke PPS.
“Tak perlu tunggu air Sungai Golok mencecah 9.8 meter baru nak pindah. Seeloknya masuk sahaja sembilan meter terus buat persediaan untuk berpindah ke PPS,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Berdasarkan rekod infobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok setakat pukul 3 petang sudah melepasi paras bahaya ketika ini iaitu 9.4 meter menyebabkan beberapa kawasan rendah di Rantau Panjang mula dinaiki air.
Dalam pada itu, Mohamad Roy Suhaimi menasihatkan penduduk Rantau Panjang supaya sentiasa peka dengan trend terkini paras air Sungai Golok.
Katanya, walaupun cuaca panas ketika ini namun trend paras air yang menunjukkan peningkatan wajar diberikan perhatian.
“Saya bimbang jika penduduk lewat berpindah berkemungkinan mereka berdepan masalah.
“Hal ini kerana jumlah penempatan di PPS sekarang terhad kerana kita juga sedang dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE