Sasar 2,000 peniaga kecil lokasi strategik di KL - Utusan Malaysia

Sasar 2,000 peniaga kecil lokasi strategik di KL

ANNUAR Musa meninjau Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota @Wilayah dekat Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan menyasar mewujudkan sejumlah 2,000 peniaga kecil di lokasi strategik seluruh Kuala Lumpur dalam masa dua tahun.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan capai matlamat tersebut.

“Ketika ini, sudah ada lebih 1,000 tempat yang dikenal pasti di sekitar pusat bandar raya dan 200 pemohon telah selesai dipilih untuk terlibat dalam pengambilan pertama,” katanya selepas meninjau Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota @Wilayah dekat Dataran Merdeka dekat sini, hari ini.

Annuar berkata, skim baharu diperkenal kementerian itu di bawah inisiatif Wilayah Prihatin menawarkan pemohon berminat dengan gerai kecil di lokasi tertentu.

“Mereka tidak boleh pilih lokasi ikut sesuka hati, bahkan saya sudah minta DBKL, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan sendiri cari lokasi strategik bagi bantu mereka,” katanya.

Menurut beliau, antara tempat di ibu negara yang dikenal pasti ialah sekitar tapak KL City Walk serta River of Life bersebelahan dengan Masjid Jamek dan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Selain itu, katanya, di sekeliling KLCC dan beberapa kompleks beli belah seperti Berjaya Times Square, Bangunan Mara di samping lokasi popular di Little India, Jalan Alor serta Jalan Melayu.

“Kita mengenakan sewa cukup minimum dengan diskaun 50 peratus daripada kadar asal antara RM100 hingga RM1,000 untuk usahawan muda ini membina bisnes,” ujarnya.

Beliau mengingatkan peniaga kecil agar menjaga premis khususnya aspek kebersihan kerana lokasi diberi adalah kawasan tumpuan ramai termasuk pelancong asing.

Pemohon yang terpilih, katanya, bukan sahaja boleh menjual makanan atau minuman malah digalakkan untuk menawarkan pelbagai produk unik lain seperti cenderamata atau baju T.

“Peniaga boleh menggaji warga asing asalkan bukan pendatang asing tanpa izin dan dilarang keras menyewa kepada orang lain. Jika ingkar, tindakan tegas akan diambil, katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN