Sarjan ditahan minta, terima rasuah - Utusan Malaysia

Sarjan ditahan minta, terima rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang anggota polis berpangkat sarjan kerana disyaki meminta dan menerima suapan daripada seorang individu yang ditahan atas kesalahan dadah, malam semalam.

Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jitra, dekat sini kira-kira pukul 10.35 malam.

Menurut sumber, suspek didakwa meminta wang tunai sebanyak RM2,000 daripada seorang individu yang merupakan pengadu dalam kes rasuah tersebut kira-kira pukul 5 petang, hari sama.

Individu terbabit ditahan atas kesalahan dadah pada 15 Oktober lalu.

Suspek kemudian didakwa menerima RM1,500 daripada pengadu sebagai balasan untuk tidak mengeluarkan waran tangkap ke atas pengadu selain menyelesaikan kes dadah dihadapinya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan anggota polis terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN