Salah faham punca lima pelajar dipukul - Utusan Malaysia

Salah faham punca lima pelajar dipukul

LOW HANG SENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Akibat salah faham, lima pelajar tingkatan dua sebuah sekolah berasrama penuh di sini dibelasah pelajar senior dalam satu kejadian, hujung bulan lalu.

Dalam kejadian itu, salah seorang pelajar, Mohammad Farish Haiqal Mohd. Khalid, 14, mengalami kecederaan pada otot dada apabila paru-paru hampir bocor selepas dipukul sekumpulan pelajar senior di dalam bilik asrama sekolah berkenaan.

Perkara itu terdedah apabila ibu mangsa, Nor Azlena Ahmad Ngawam, 42, menyedari anaknya cedera yang dikatakan akibat bermain ragbi namun selepas didesak berkali-kali mengaku dipukul pelajar senior.

“Saya terkejut bila dapat tahu anak saya dapat cuti sakit lima hari, pihak sekolah suruh datang ambil anak. Mula-mula anak cakap cedera sebab main ragbi. Hal ini terbongkar selepas ibu salah seorang empat pelajar yang memaklumkan anaknya turut menjadi mangsa.

“Lepas didesak baru anak saya cakap benar. Lepas itu saya bawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, pihaknya membuka kertas siasatan setelah ibu mangsa membuat laporan polis menyatakan bahawa anak dan rakannya berusia 14 tahun dipukul oleh beberapa pelajar senior di sekolah berkenaan.

“Kejadian ini berlaku di bilik asrama sekolah dan dipercayai berpunca salah faham antara mangsa dengan pelajar senior. Kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan dan diberi amaran oleh pelajar senior agar tidak menceritakan hal kejadian kepada pihak sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Hang Seng menambah, sejurus selepas itu, lima pelajar tingkatan empat ditahan polis bagi membantu siasatan kes buli itu ketika hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Kluang pukul 2.45 petang ini.

Katanya lagi, ujian air kencing terhadap semua pelajar itu mendapati mereka negatif dadah dan tiada mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes ini disiasat untuk tindakan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Mereka akan direman di Mahkamah Kluang esok bagi membantu siasatan dan penglibatan dalam kes pergaduhan dan buli di sekolah berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN