Sabah harap diberi lebih perhatian dalam Belanjawan 2021 - Utusan Malaysia

Sabah harap diberi lebih perhatian dalam Belanjawan 2021

DR. JOACHIM GUNSALAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sabah berharap akan mendapat perhatian khusus dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini terutama dalam meningkatkan kemudahan asas di kawasan luar bandar.

Timbalan Ketua Menterinya, Datuk Dr. Jaochim Gunsalam berkata, dalam keadaan negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi, rakyat terutamanya warga Sabah amat berharap kepada Belanjawan 2021 ekoran pelbagai kemelut yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.

“Saya mencadangkan agar Belanjawan 2021 bersifat inklusif supaya manfaat dapat dirasai secara langsung oleh setiap rakyat terutama rakyat Sabah. 

“Pembangunan luar bandar perlu menjadi fokus utama Belanjawan 2021 dengan penekanan kepada pembangunan infrastruktur serta jaringan internet. Pada masa sama kemudahan pendidikan dan kesihatan perlu dipertingkatkan supaya tidak ada jurang perbezaan. 

“Tahap pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar yang masih rendah yang menyebabkan penduduk berhadapan kesukaran dalam kehidupan seharian yang mana secara tidak langsung menghalang mereka untuk bangkit memajukan diri sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan mahupun sosial.

“Kebanyakan jalan raya masih dalam keadaan yang tidak sempurna dan ada yang tidak layak untuk dinamakan sebagai jalan raya yang mana ia memerlukan perhatian segera termasuk melalui peruntukan dalam Bajet 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

 Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata, jaringan internet di luar bandar juga perlu ditingkatkan supaya penduduknya tidak ketinggalan terutama apabila semua kaedah pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara online ekoran Covid-19.

“Tanpa akses internet yang berkualiti bagaimana pelajar di luar bandar mahu belajar? Ini merupakan satu bentuk ketidakadilan terhadap masyarakat luar bandar yang perlu diatasi segera.

“Tidak ada gunanya negara berbangga dengan sistem telekomunikasi 5G tetapi pada masa yang sama ada rakyat yang tidak mendapat akses kepada Internet. Jurang komunikasi antara bandar dan luar bandar ini perlu diatasi segera,” katanya.

Beliau juga menggesa supaya Belanjawan 2021 melaksanakan segera pemberian kembali 40 peratus cukai kepada negeri Sabah selain perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti diberikan perhatian serius oleh kerajaan Persekutuan.

Beliau juga berharap kerajaan Pusat dapat mempertimbangkan moratorium kepada mereka yang masih mempunyai pinjaman di sambung lagi dalam tempoh masa enam bulan.

 Selain itu katanya, taman perindustrian di sabah (Industrial Park) seperti Kota Kinabalu di  Industrial Park (KKIP), Palm Oil Industrial Cluster (POIC) dan Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) juga perlu diberi perhatian. 

“Ini semua penting dalam membantu menjana ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan yang akan dapat membantu rakyat keluar daripada kemelut ekonomi sekarang. 

 “Yang paling penting, negeri  Sabah perlu diberikan perhatian yang lebih dalam Belanjawan 2021, sama ada peruntukan untuk pembangunan infrastruktur, pendidikan mahupun kesihatan,” katanya. – UTUSAN  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya