LANGKAWI: Sebanyak 17 rumah dan 15 kereta mengalami kerosakan akibat ditimpa pokok tumbang dalam kejadian ribut di Kampung Yooi, di sini hari ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus, kebanyakan rumah terlibat mengalami kerosakan di bahagian bumbung dalam kejadian ribut pada pukul 12.40 tengah hari itu.
“Angin kuat dan hujan lebat di lokasi tersebut menyebabkan pokok dan tiang elekterik tumbang,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan bekalan elektrik di kampung itu turut terjejas sebelum dipulihkan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Beliau memberitahu, jalan utama di kampung terbabit ditutup lebih dua jam untuk membersihkan pokok tumbang yang menghalang jalan raya.
Tambahnya, sebanyak 19 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dua jentera diarahkan ke lokasi bagi memberi bantuan.
“Operasi membersih pokok tumbang itu juga turut melibatkan agensi-agensi penyelamat lain,” katanya.
Katanya, setakat ini, pihaknya tidak menerima laporan mengenai kemalangan jiwa dan kecederaan dalam kejadian ribut itu. – UTUSAN ONLINE