RCEP: Mekanisme pemulihan ekonomi pasca Covid-19 - PM - Utusan Malaysia

RCEP: Mekanisme pemulihan ekonomi pasca Covid-19 – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan keyakinan bahawa Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menjadi salah satu mekanisme terbaik ke arah pemulihan ekonomi dunia pasca penularan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pelaksanaan perjanjian itu mendorong pembukaan semula pasaran serta memastikan kelancaran rantaian bekalan.

Beliau berkata, RCEP menjadi wahana utama yang mana integrasi ekonomi serantau dalam ASEAN dan rakan dialognya dapat ditingkatkan.

“Ditambah dengan cabaran sistem perdagangan global akibat ketegangan serantau, sangat penting bagi ASEAN untuk terus mempertahankan daya saing. Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) adalah cara terbaik untuk membantu mempertahan daya saing melalui promosi perdagangan antarabangsa, mendorong pelaburan dan memastikan penawaran sumber.

“Sememangnya penting bahawa perkongsian ini dirundingkan berdasarkan tahap perkembangan ekonomi yang berbeza dari 15 negara yang mengambil bahagian, untuk memastikan FTA yang saling menguntungkan untuk semua.

“Saya percaya ini adalah batu loncatan untuk pertumbuhan dan semangat kerjasama ekonomi serantau kita di masa hadapan,” katanya ketika berucap di Sidang kemuncak RCEP keempat secara dalam talian.

Sebanyak 15 negara menandatangani RCEP hari ini secara maya dengan harapan ia dapat membantu mereka bangkit semula daripada kesan Covid-19.

RCEP merangkumi 10 ekonomi Asia Tenggara bersama China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia.

Bagaimanapun, India yang juga rakan dialog ASEAN memilih untuk menarik diri daripada kerjasama berkenaan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Malaysia sentiasa mengalu-alukan penyertaan negara itu pada masa akan datang.

“Malaysia menyedari kesukaran yang sedang dihadapi oleh India. Kami ingin menyatakan sokongan berterusan dan mengalu-alukan penyertaan mereka,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN