KUALA LUMPUR: Semua projek infrastruktur yang dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu dilaksanakan semula.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, langkah tersebut penting demi kepentingan rakyat termasuk projek di Negeri Sembilan.
“Semua projek dibina untuk kepentingan rakyat sebagai contoh di Jelebu terdapat tiga projek utama tidak dilaksanakan termasuk dewan dengan perbelanjaan RM7 juta.
“Kerajaan perlu berbuat demikian kerana ini adalah hak dan kepentingan yang harus kita laksanakan untuk rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa dalam sidang Dewan Rakyat semalam.
Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, Jabatan Perdana Menteri perlu memberi penjelasan di sebalik kewajaran kerajaan memperuntukkan RM882.7 juta kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu peningkatan sebanyak RM288 juta berbanding dalam Bajet 2020 lalu.
“Saya mohon apakah justifikasi bagi meningkat begitu tinggi kerana kenaikkan RM288 juta terutama berkenaan bayaran tetap.
“Saya minta penjelasan kerajaan siapakah atau pihak kelompok mana mendapat manfaat daripada kenaikan peruntukan begitu besar,” katanya.- UTUSAN