Premis stor bahan buangan sisa industri punca pencemaran -

Premis stor bahan buangan sisa industri punca pencemaran

KAKITANGAN Indah Water Selangor sedang melakukan proses pembersihan di loji rawatan air Sungai Selangor di IWK Taman Velox sewaktu tinjauan semalam. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Premis dipercayai stor bahan buangan sisa industri dipercayai menjadi punca pembuangan efluen secara tidak sah ke lurang kumbahan sehingga mencemarkan Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium Taman Volex, Rawang dekat sini semalam.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataannnya berkata, penemuan tersebut adalah hasil pemeriksaan bersepadu kira-kira pukul 10.45 malam semalam.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan bersepadu telah dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.

“Sisa dari premis tersebut didapati menghasilkan bau yang sama di kesan di LRK dan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 ( SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang. Tindakan sita telah diambil terhadap premis tersebut oleh MPS.

“LUAS akan mengeluarkan Surat Arahan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122 Enakmen LUAS 1999 kepada premis yang disyaki berkenaan risiko dan ancaman kepada kualiti sumber air dan diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pemulihan segera di tapak.

“Malah, LUAS juga mengeluarkan surat arahan kepada IWK turut dikeluarkan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan penutupan aliran dan pembersihan serta-merta di LRK,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kira-kira enam juta pengguna terjejas ekoran gangguan bekalan air berlaku sejak petang semalam.

Gangguan bekalan air berlaku berikutan terdapat pencemaran bau seakan-akan pelarut dikesan di Sungai Selangor sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Rantau Panjang, Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 ditutup.

Susulan pencemaran itu, empat individu termasuk seorang wanita telah ditahan dalam serbuan berasingan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN