Pencemaran Sungai Selangor: Empat termasuk seorang wanita ditahan - Utusan Malaysia

Pencemaran Sungai Selangor: Empat termasuk seorang wanita ditahan

FADZIL AHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Empat individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung pencemaran sumber air mentah sehingga mengakibatkan empat Loji Rawatan Air (LRA) ditutup semalam

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kesemua suspek berusia 33 hingga 43 tahun itu diberkas di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya bermula tengah malam hingga awal pagi tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan merupakan penama yang didaftarkan dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyewa sebuah premis di Jalan Velox, Rawang tersebut.

“Manakala, dua suspek termasuk warga Bangladesh yang merupakan pekerja telah menumpang stok bahan-bahan kimia di premis sewaan tersebut. 

“Kita percaya terdapat aktiviti-aktiviti membuang sisa-sisa kimia ke dalam satu lubang kumbahan di premis yang disyaki terus mengalir ke kawasan tercemar,’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan premis itu merupakan stor bahan buangan.

Tambah Fadzil, permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dilakukan di Mahkamah Selayang pagi ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Terdahulu, berlaku henti tugas di empat LRA di Selangor iaitu Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang yang mana lebih 1.1 juta akaun atau enam juta penduduk merangkumi 1,279 kawasan terjejas.

Bekalan air mula ditutup bermula 6 petang semalam dan wilayah terlibat ialah di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. 

Gangguan bekalan air melibatkan Sungai Selangor adalah yang ketiga selepas dua kali berlaku pada September dan Oktober lalu melibatkan keempat-empat LRA.

Pada September lalu, berlaku pencemaran iaitu pelepasan pelarut yang mengakibatkan gangguan bekalan air berlaku selama tujuh hari. Manakala pada Oktober pula gangguan berlaku selama empat hari yang mana kesemuanya melibatkan gangguan terhadap 1,292 kawasan dengan lebih 1.1 juta akaun pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN