Polis semak gelaran Datuk ahli Geng 18 - Utusan Malaysia

Polis semak gelaran Datuk ahli Geng 18

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Polis akan menyemak kesahihan gelaran ‘Datuk’ yang dimiliki seorang daripada 14 ahli kumpulan Geng 18 batu 14 Puchong yang ditahan kerana terlibat dalam kejadian pergaduhan di sebuah pusat hiburan baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, meskipun suspek dipercayai mempunyai watikah pingat kebesaran dan mendapat gelaran ‘Datuk’, namun siasatan tetap dilakukan bagi memastikan kesahihannya.

“Kita akan siasat sama ada benar atau tidak gelaran ‘Datuk’ yang digunakan suspek atau sekadar panggilan seperti dilaporkan sebelum ini.

“Kita masih perlu ke Istana untuk menentukan pengesahan watikah itu,” katanya tanpa mengulas negeri mana yang mengeluarkan watikah gelaran Datuk terhadap suspek.

Mengulas lanjut, Saiful Azly memberitahu, kesemua 15 suspek yang terbabit dalam pergaduhan itu disambung reman selama lima hari.

Kata Saiful Azly, siasatan juga dilakukan sama ada pembabitan kesemua suspek dalam kumpulan kongsi gelap.

“Pihak kita ada menerima laporan daripada pemilik premis berkenaan mengenai peras ugut yang dilakukan kumpulan terbabit.

“Jadi kita akan mohon reman mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut esok,” ujarnya.

Dalam kejadian pada 25 November lalu, berlaku pergaduhan di pusat hiburan terbabit kira-kira pukul 11.20 malam.

Sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi kemudian menahan 19 lelaki berusia antara 38 hingga 59 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu termasuk seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Datuk.

Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada kekecohan yang tercetus selepas sekumpulan lelaki yang datang ke pub berkenaan untuk berhibur, namun premis terbabit sudah tutup. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN