Polis Marin bantu kesan barang kes bunuh Siti Nor Surya - Utusan Malaysia

Polis Marin bantu kesan barang kes bunuh Siti Nor Surya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Khidmat Unit Selam Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga digunakan bagi mengesan barang kes yang dipercayai dibuang suspek kes pembunuhan Siti Nor Surya di Sungai Telemong di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, operasi kira-kira dua jam yang disertai sembilan juruselam marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagaimanapun tidak menemukan barangan yang dipercayai dibuang suspek.

Katanya, berdasarkan siasatan, suspek yang berusia 19 tahun itu mengaku membuang barangan yang diambil di rumah mangsa berupa beg mengandungi dokumen peribadi termasuk kad pengenalan ke dalam sebatang sungai.

“Tujuan pencarian adalah untuk mendapatkan barangan tersebut tetapi tiada yang dijumpai.

“Sebelum ini, kita telah menemukan pisau yang dipercayai digunakan suspek di tepi Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Telemong kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Suspek yang merupakan rakan karib Siti Nor Surya disambung reman tujuh hari lagi hingga 16 November ini bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Dalam kejadian 1 November lalu, Siti Nor Surya ditemui mati dalam keadaan tertiarap  di bahagian ruang tamu rumahya di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong di sini dengan pergelangan tangan kirinya putus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN