Dua kumpulan penyeludup terbabit serang anggota PGA - Utusan Malaysia

Dua kumpulan penyeludup terbabit serang anggota PGA

SURINA Saad dalam sidang akhbar di IPK Perlis, Kangar Perlis hari ini.- Shahir Noordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis negeri mengenal pasti dua kumpulan penyeludup yang terlibat dalam insiden berbalas tembakan sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam kejadian berhampiran Tembok Sempadan (TS9) Padang Besar, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, dua kumpulan dari Thailand itu terdiri daripada enam individu dari kumpulan pertama dan tujuh dari kumpulan kedua.

Katanya, seramai enam individu dari kedua-dua kumpulan terbabit telah dikenal pasti iaitu tiga ditahan di Thailand semalam dan tiga lagi ditahan di negeri ini termasuk seorang yang ditahan pagi tadi.

Menurutnya, kumpulan kedua tersebut sering menggunakan senjata berbahaya semasa menjalankan aktiviti penyeludupan dan tembakan senapang patah atau shotgun dipercayai membabitkan ahli dari kumpulan tersebut telah mengorbankan anggota PGA berkenaan.

“Seorang lagi lelaki warga Thailand berumur 27 tahun ditahan di sekitar kawasan kejadian pada pukul 9 pagi tadi. Suspek ini yang terjatuh ke dalam gaung semasa kejadian tembakan namun tidak mengalami kecederaan telah mengenal pasti dua suspek yang ditahan di Thailand adalah daripada kumpulan sama. Suspek akan direman esok.

“Kami masih memburu suspek yang lain disamping seorang suspek utama warga tempatan berusia 50-an. Suspek ini dipercayai memang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Dalam kejadian 2.30 pagi semalam, Koperal Baharuddin Ramli, 54, gugur dalam pertempuran dengan 13 penyeludup kira-kira 600 meter dari tembok sempadan negara berhampiran pos TS9.

Sementara itu, rakannya, Koperal Norihan Tari, 39, pula parah kesan tembakan di perut.

Terdahulu, Surina telah mengadakan rundingan dengan Ketua Polis Wilayah Songkla pada pukul 12 tengah hari tadi bagi memohon polis sana untuk menyerahkan kesemua suspek kes ini.

Mengulas mengenai rundingan tersebut, beliau memberitahu, Ketua Polis Wilayah Songkla berjanji untuk menyerahkan suspek terbabit setelah mendapatkan kebenaran daripada Ketua Polis Thailand.

Sementara itu, Norizan telah selesai menjalani pembedahan usus di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) semalam dan akan dihantar ke Pulau Pinang untuk membuang tiga peluru iaitu satu di paru-paru dan dua di perut.

Sehingga kini, 19 suspek telah ditangkap polis bagi membantu siasatan kes ini termasuk 18 yang direman antara empat hingga tujuh hari bermula hari ini di Mahkamah Kangar pagi tadi.

Tiga suspek warga Thailand direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan manakala 15 lagi warga tempatan direman empat hari hingga Sabtu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN