PM dicabar jelaskan RM200 juta untuk lantikan politik - Utusan Malaysia

PM dicabar jelaskan RM200 juta untuk lantikan politik

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dicabar memberi penjelasan berkenaan peruntukan bernilai RM200 juta di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang didakwa bakal digunakan bagi melantik pegawai kontrak lantikan politik.

Cabaran itu dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang menegaskan, angka sebesar itu tidak sepatutnya disediakan bagi tujuan berkenaan ketika banyak rakyat yang menganggur akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, berlaku peningkatan sebanyak RM181.4 juta berbanding tahun sebelumnya dan ia dilihat sebagai cubaan untuk ‘menyelindung’ lantikan politik.

“Kita bicara soal Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pegawai khas. Rupa-rupanya di JPM kalau kita lihat dalam Butiran Besar 060000 dan Butiran Kecil 060200, emolumen kakitangan kontrak ada pertambahan RM200 juta tahun 2021.

“Saya mahu Perdana Menteri sendiri bangun untuk menjawab hari ini apa keperluan manakala kita bawa gambaran dan sikap kenyataan di media seolah-olah kita adalah kerajaan prihatin tentang derita rakyat.

“Tetapi kita berikan RM181.4 juta untuk pegawai kontrak yang sepatutnya dipindahkan ke barisan hadapan dan anak-anak muda yang menganggur yang terpaksa menyara anak-pinak mereka,” katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang mempertikaikan pelantikan duta-duta khas yang didakwa tugasnya bertindih dengan Kementerian Luar dan duta-duta besar sedia ada.

Katanya lagi, duta-duta khas itu dilihat gagal memainkan peranan yang sepatutnya di saat dunia masih berperang dengan Covid-19 berikutan rata-rata mereka kini berada di Kuala Lumpur.

“Kita lihat anggaran perbelanjaan mengurus meningkat RM482.4 juta berbanding tahun lalu, maknanya naik 10.7 peratus. Jadi bagi maksud B6 JPM penambahan ketara itu kerana tugas mereka. Bagi saya adalah pertindihan dengan peranan yang mampu dilakukan oleh Kementerian Luar dan duta-duta besar kita di seluruh negara.

“Membincangkan soal Covid-19, keprihatinan tidak setimpal dengan membayar, memberikan upah kepada jawatan yang tidak berkesan dalam Covid-19 ini. Duta-duta khas, ke mana mereka pergi? Semua di Kuala Lumpur,” tegasnya.

Untuk rekod, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri pada April lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN