KUALA NERANG: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu bermula hari ini memberi kesan kepada kebanyakan peniaga termasuk pengusaha butik pengantin.
Seorang pengusaha butik pengantin di pekan Kuala Nerang, di sini mengeluh apabila sembilan pelanggannya mengambil keputusan membatal dan menangguhkan tempahan sewa pakaian pengantin serta pelamin susulan PKPB.
Pengusaha De Impiana Bridals, Zurita Hider, 40, berkata, dia mula menerima panggilan daripada pelanggan bagi memaklumkan perkara itu selepas kerajaan mengumumkan PKPB kelmarin.
“Tiga bakal pengantin membatalkan tempahan dengan kerugian yang terpaksa saya tanggung lebih RM6,000 manakala enam lagi dengan tempahan dianggarkan berjumlah RM12,000 menangguhkan majlis ke tarikh lain,” katanya di sini semalam.
Zurita berkata, dia mengeluarkan modal lebih RM6,000 untuk menyediakan pakaian baharu pengantin untuk disewa bagi majlis perkahwinan bermula bulan ini hingga cuti sekolah pada Disember ini.
“Sedih juga sebab perniagaan butik yang saya usahakan sejak dua tahun lalu ini baru nak ‘bernyawa’ selepas merosot akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu,” ujarnya.
Dia bimbang menanggung lebih banyak kerugian sekiranya PKPB disambung lagi sehingga hujung tahun ini. – UTUSAN