PKPB di Mukim Jimah, air pula tiada - Utusan Malaysia

PKPB di Mukim Jimah, air pula tiada

PENDUDUK di sekitar Lukut mengambil air dari lori tangki selepas Port Dickson mengalami gangguan bekalan susulan penutupan LRA Sungai Linggi. – UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Ketika Mukim Jimah di sini dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini, sebahagian penduduk kawasan tersebut terpaksa pula menanggung masalah ketia­daan bekalan air.

Ia susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi sejak kelmarin berikutan runtuhan tebing Sungai Linggi selepas kejadian hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Seremban.

Seorang penduduk Taman D’ambang Kota, K. Parvathy, 40 berkata, dia bimbang pelaksa­naan PKPB menyukarkan urusan penduduk yang kini berdepan masalah ketia­daan air.

Malah katanya, ketiadaan sumber itu menyebabkan orang ramai terpaksa berkumpul di satu-satu tempat untuk mendapatkan air yang dibekalkan.

“Walaupun saya lihat Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) ada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika mengambil air, saya tetap bimbang.

“Antara SOP yang ditetapkan seperti perlu mengisi nama dan periksa suhu sebelum mengambil air,” katanya kepada Utusan Malaysia di Bukit Palong, dekat sini semalam.

PKPB Mukim Jimah membabitkan tujuh lokasi iaitu Tanah Merah Site C, seluruh Bandar Springhill dan Taman Bayu Indera, Kawasan Perindustrian Bukit Palong, Taman Lukut Makmur, Kampung Sungai Sendayan dan Taman Vista Jaya.

Sementara itu, seorang pe­kerja bengkel, Razali Rasi­min, 51, berkata, dia terpaksa mengambil air dari lori tangki yang datang bagi membolehkannya meneruskan kerja-kerja kimpalan kereta pelanggan.

“Nak buat macam mana, kerja perlu disiapkan walaupun kena ulang alik ambil air,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya