PKP: Sekolah swasta rugi RM50j - Utusan Malaysia

PKP: Sekolah swasta rugi RM50j

Mohd. Fadzil Hashim (tengah) mewakili pengusaha dan persatuan pendidikan awal kanak-kanak swasta memohon kajian semula tempoh penutupan pendidikan awal kanak-kanak dan sesi persekolahan di Cyberjaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 5,000 pengusaha serta persatuan-persatuan pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah-sekolah swasta Malaysia menangung kerugian hampir RM50 juta dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengasas Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim yang merupakan wakil persa­tuan berkata, jumlah berkenaan dicatatkan mulai tempoh Mac hingga Jun lalu ekoran ditutup.

Katanya, pihak sekolah menanggung kerugian kerana tiada sumber kewangan dan hanya bergantung kepada yuran pelajar sehingga sukar untuk membayar bil, gaji guru serta sewa bulanan premis sekolah.

“Kami memohon kepada kerajaan untuk mengkaji semula penutupan prasekolah yang diadakan sehingga hujung tahun ini serta memberi keutamaan penutupan kepada sekolah yang berada di zon merah sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan penutupan sekolah di seluruh negara bermula 9 November sehingga 18 Disember termasuk di Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga ditutup hingga akhir tahun.

Beliau berkata, penutupan sekolah dan sektor pendidikan itu membabitkan pelbagai pihak berkepentingan membabitkan lima juta orang murid dan pelajar serta lebih 500,000 orang guru serta pensyarah.

“Kami memohon kepada kerajaan agar membenarkan sekolah yang berada di zon selamat meneruskan operasi mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Permohonan ini mewakili 25 persatuan sekolah swasta yang berharap agar kerajaan menimbangkan semula arahan penutupan sekolah kerana turut menimbulkan masalah kepada ibu bapa yang bekerja” katanya.

Menurutnya, pendidikan swasta di peringkat sekolah dan prasekolah adalah satu komponen penting dalam sistem pendidikan di negara ini selain, ia turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara serta memberi sumbangan besar kepada pembangunan sumber manusia.

“Pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang besar kepada pengusaha-pengusaha pendidikan swasta. Oleh kerana sekolah tidak dapat dibuka dan pengajaran dan pembelajaran terpaksa dibuat secara emergency remote teaching (ERT), kebanyakan sekolah tidak dapat mengutip yuran penuh daripada ibu bapa,” jelas.

Katanya, sekiranya keadaan berterusan, para pengusaha pendidikan swasta akan menghadapi masalah ali­ran tunai yang tenat sehingga mengancam viabiliti sekolah-sekolah berkenaan dan berkemungkinan sebahagian besarnya pterpaksa menutup operasi.

“Oleh itu, kami memohon ihsan pihak Kementerian Pendidikan untuk insitusi pendidikan swasta beroperasi untuk semua kelas dengan SOP yang ketat mengambil-kira peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN