MELAKA: Seorang lelaki warga emas menemukan ajal dalam keadaan menyayat hati apabila dipercayai lemas akibat terperangkap dalam lumpur ketika menyemai anak padi di sawah Kampung Batang Tiga, Klebang di sini malam tadi.
Lebih memilukan, Ramli Samat, 68, ditemukan ahli keluarga dalam keadaan tertiarap di kawasan sawah padi berkenaan ketika mereka keluar mencarinya pada pukul 7.40 malam selepas tidak pulang ke rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Penolong Penguasa Bomba Roslan Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.44 malam sebelum sembilan anggota ditugaskan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa ke kawasan sawah bersama dua lagi rakan namun mereka pulang lebih awal selepas selesai kerja sawah masing-masing.
“Setelah hari sudah gelap, ahli keluarga yang risau mangsa belum pulang keluar mencari lelaki itu di sawah sebelum menemukannya dalam keadaan tertiarap dengan bahagian muka terbenam dalam lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan, warga emas itu turut menghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis.
Roslan berkata, anggota bomba cuba membuat penyelamatan awal dengan memberi bantuan pernafasan kepada mangsa, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang hadir.
“Kita percaya mangsa cuba bangun selepas dipercayai terjatuh, namun faktor tanah yang lembap dan berair memandangkan ketika ini adalah musim menyemai padi menyebabkan dia gagal berbuat demikian.
Ujar beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN ONLINE