SEREMBAN: Pesara guru mengalami kerugian sebanyak RM224,840 selepas terjerat dengan penipuan African Scam sejak September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, pada 7 September lalu, wanita berusia 63 tahun itu menerima panggilan telefon yang mengaku sebagai rakan lamanya yang kini menetap di Liverpool, England.
“Tujuan ‘rakannya’ itu menelefon kerana ingin meminjam wang daripada mangsa untuk rawatan anaknya yang kini sedang sakit di Hospital Miri, Sarawak.
“Mangsa bersetuju membantu rakannya dan membuat pindahan wang sebanyak RM27,000 ke akaun Bank Rakyat di nombor akaun 220122278723 pada 24 September lalu” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aibee berkata, ‘rakan’ mangsa kemudian memberitahu dia telah membayar wanita itu sebanyak 10,000 pound (RM 54,329) tetapi terdapat kesilapan jumlah dari bank menjadi sebanyak 100,000 pound (RM543,298).
Menurutnya, mangsa juga diberikan resit penghantaran wang tersebut.
“Mangsa kemudian dihubungi individu yang mengaku sebagai pegawai dari Bank Negara memintanya membuat pembayaran sebagai penalti, insurans dan sekuriti servis bagi kesilapan berkenaan untuknya mendapatkan jumlah wang tersebut semula.
“Mangsa memindahkan wang ke beberapa akaun dari 24 September hingga 3 November lepas dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM224,840,” katanya.
Menurutnya, mangsa diberitahu wang yang diberikan berkenaan akan dipulangkan selepas tiga minggu namun penantiannya hampa.
“Wanita itu membuat laporan polis di Balai Polis Senawang hari ini selepas menyedari dirinya tertipu sebaik sahaja wang yang dipinjamkannya tidak dipulangkan dalam tempoh dijanjikan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE