BUTTERWORTH: Lagi kes memandu lawan arus di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Seberang Jaya dekat sini.
Kali ini membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna perak yang mana kejadian itu yang dirakam dipercayai oleh pemandu lori dan tular dalam laman sosial Facebook sejak malam tadi.
Namun tidak dapat dipastikan tarikh dan masa sebenar ia berlaku.
Menerusi rakaman berdurasi 51 saat itu, kereta berkenaan dilihat dipandu pada kelajuan sederhana namun di lorong paling kanan atau lorong memotong di lebuh raya berkenaan secara melawan arus.
Ekoran itu, beberapa pemandu lain dilihat cuba mengelak kenderaan tersebut dengan ada yang menyembunyikan hon.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, pihaknya bagaimanapun belum menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Polis mendapati video berhubung kejadian itu tular sejak malam tadi dan tindakan itu mengejutkan pengguna jalan raya lain.
“Tiada kemalangan dilaporkan, namun tindakan itu mengundang kemarahan pengguna jalan raya lain yang membunyikan hon sepanjang pemanduannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Shafee berkata, polis sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan itu bagi siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut menyalurkannya. – UTUSAN ONLINE