Penubuhan semula Jasa bukan bermotif politik - Utusan Malaysia

Penubuhan semula Jasa bukan bermotif politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sepertimana diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 dijamin tidak bermotifkan politik, sebaliknya dianggotai pasukan profesional demi memperkukuh sahsiah dan pembangunan sosial masyarakat berbilang bangsa.

Menjelaskan perkara itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata, pihaknya memahami keresahan rakyat terhadap fungsi-fungsi jabatan itu sebelum ini yang mungkin tidak dilaksanakan sebagaimana ditetapkan semasa pentadbiran terdahulu.

Katanya, kementerian diberi tanggungjawab menerajui penubuhan semula jabatan itu yang bertindak sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi secara tersusun, strategik dan bersasar mengikut keperluan segmen masyararakat di semua lapisan.

Tanggungjawab itu, katanya, sangat penting dan kritikal ketika negara sedang menghadapi krisis pandemik Covid-19 apatah lagi penyebaran berita-berita palsu boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat.

“Segala perbelanjaan tertakluk kepada peraturan kewangan kerajaan yang akan diaudit. Peruntukan yang disediakan kerajaan kepada Jasa sudah pasti dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melaksanakan fungsi dan peranan agensi berkenaan dengan berkesan.

“Peruntukan ini juga secara langsung memberi peluang pekerjaan di samping menggiatkan ekonomi yang memberi manfaat kepada pihak penyedia perkhidmatan dan pekerja secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Jasa akan melaksanakan pengambilan pegawai dan kakitangan yang berkelayakan dan latihan untuk melahirkan pengamal komunikasi berkemahiran terutama dalam komunikasi media sosial dan digital.

Katanya, langkah ini bagi menyebarluaskan maklumat-maklumat penting dalam usaha mendidik dan membudayakan norma baharu dalam kalangan masyarakat.

Tambah kenyataan itu, peruntukan Jasa dalam Belanjawan 2021 bagi pengambilan lebih ramai kakitangan untuk ditempatkan di semua negeri dan daerah seluruh negara, pembangunan modul dan latihan kompetensi kakitangan serta melengkapkan keperluan prasarana digital.

“Selain itu, ia juga melibatkan kos operasi bagi menggerakkan kakitangan khususnya di kawasan-kawasan yang jauh dan terpencil seluruh negara serta kos-kos lain yang diperlukan dalam penubuhan sebuah agensi baharu.

“Jasa bertanggungjawab mengadakan sesi-sesi libat urus dengan pemegang taruh termasuk pemimpin masyarakat sivil dan pemimpin komuniti setempat dalam mendapatkan input-input penting yang konstruktif bagi pembinaan negara bangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN