JASIN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyerahkan sejumlah 50,000 bantuan benih ikan puyu kepada penternak akuakultur dari daerah ini dan Alor Gajah di Kota Budaya, Sungai Rambai, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, bantuan itu merupakan antara usaha kerajaan dalam membangunkan dan mengukuhkan ekonomi nelayan serta penternak-penternak akuakultur di negeri ini.
Ujarnya, pemberian benih itu dijangka dapat meningkatkan hasil pengeluaran ikan puyu dan meringankan beban dalam sektor itu dalam jangka masa panjang.
“Harapan saya agar bantuan benih ikan puyu ini dapat menambah baik ekonomi nelayan serta penternak akuakultur untuk mempunyai pendapatan tetap yang jauh lebih tinggi berbanding sebelumnya.
“Kita juga tahu, semua lapisan sektor dalam negara terkesan dengan pendemik Covid-19, jadi ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu memulihkan ekonomi rakyat,” katanya pada program pelepasan benih udang ke perairan umum dan penyerahan kad pendaftaran nelayan di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahmad menyampaikan benih ikan puyu itu kepada penerima dengan disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Yang hadir Pengarah Perikanan Negeri, Mohd. Fauzi Salehon.
Pada majlis itu, Ahmad turut bersama-sama melepaskan 25,000 benih udang galah ke perairan Sungai Kesang dan menyerahkan kad pendaftaran nelayan kepada lima nelayan sungai serta penyerahan 13 lesen alatan menangkap ikan.
Pada program tersebut, beliau memberitahu sehingga kini sebanyak dua juta benih ikan dan udang telah dilepaskan di perairan umum sejak 2003.
Sementara itu, mengulas lanjut peruntukan berjumlah lebih RM3 bilion menerusi pembentangan Belanjawan 2021 semalam, beliau yakin jumlah itu mampu memperkasa lagi sektor pertanian di negara ini.
“Untuk tahun lalu saja, sektor pertanian menyumbang kepada 7.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ketika sektor lain mencatatkan penguncupan ekoran penularan pandemik COVID-19, sektor pertanian diunjurkan terus berkembang kepada 4.7 peratus daripada KDNK tahun hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE