KUALA KRAI: Perkhidmatan feri Pangkalan Pasir Kelang yang menjadi nadi pengangkutan utama bagi penduduk di situ dan lima kampung sekitarnya menyeberang Sungai Kelantan tergendala sejak tiga hari lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pangkalan Feri Pasir Era mendapati keadaan arus Sungai Kelantan selebar 250 meter yang deras dan terdapat sampah dan batang pokok hanyut berisiko mengganggu pergerakan feri untuk menyeberangi sungai itu.
Penduduk kini tidak dapat meneruskan rutin harian di bandar Kuala Krai dan selagi air sungai masih deras dan berbahaya untuk diseberangi, mereka kini boleh dikatakan terputus hubungan dengan dunia luar.
Mohd. Rizuan Ab. Razak 29, seorang pengendali perkhidmatan itu berkata, feri sudah tidak bergerak sejak tiga hari lalu kerana air sungai naik sehingga ke tebing manakala arus yang deras menyukarkan pergerakan feri.
“Perkhidmatan feri untuk menyeberangi sungai ini terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi mengelak bahaya lagipun feri ini sudah lama dan kemampuannya agak terbatas.
“Walaubagaimanapun, bot laju disediakan bagi menyeberang sungai ini untuk penduduk yang ingin menyeberang atas urusan penting dan kecemasan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Penjual tiket, Noor Atiqah Pauzi, 29, pula berkata air yang sudah surut sedikit dan tidak begitu deras hari ini memberi peluang bot laju bergerak namun terhad untuk 10 penumpang sahaja dalam satu masa.
Salah seorang penduduk, Norlidawati Ibrahim, 37, dari Pasir Kelang Baru berkata, bekalan makanan basah seperti ayam dan ikan sudah habis menyebabkan dia terpaksa keluar menaiki bot laju untuk mengambil bekalan yang ditempah di Pangkalan Feri Pasir Era.
“Pasar mini di kampung kini kehabisan bekalan kerana bekalan baharu tidak dapat dibawa masuk ke kampung. Walaupun ada jalan alternatif melalui Kampung Sokok ke Tanah Merah, tapi jalan itu pun sudah ditenggelami air,” katanya.
Menurutnya lagi, keadaan seperti ini akan sentiasa dialami penduduk di Pasir Kelang selagi pembinaan jambatan yang diharapkan penduduk sekitar masih belum dilaksanakan. – UTUSAN ONLINE