KUALA SELANGOR: Hujan tidak menentu sejak kelmarin menyebabkan seramai 23 penduduk di Kampung Seri Sentosa dan Kampung Sri Aman, Ijok di sini ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
Tinjauan Utusan Malaysia di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields di sini hari ini mendapati, semua mangsa itu terdiri daripada sembilan keluarga termasuk warga emas dan kanak-kanak.
Penduduk kedua-dua kampung itu belum dibenarkan pulang berikutan kawasan rumah mereka masih ditenggelami air sehingga paras pinggang.
Seorang penduduk, Amat Ali Yasin, 74, berkata, kejadian banjir itu disedari selepas mendapati air mula memasuki rumahnya kira-kira pukul 1 pagi semalam.
“Hujan lebat berterusan mengakibatkan air naik mendadak dan saya terpaksa menggunakan sampan untuk menyelamatkan diri.
“Saya dan isteri sebelum itu sudah meletakkan dokumen di tempat tinggi sebelum dibawa pihak berkuasa ke pusat pemindahan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Tambah datuk kepada 13 cucu itu, dia dan semua mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan berikutan hujan tidak menentu yang mengakibatkan rumah masih ditenggelami air.
Bagi suri rumah, D. Jayaletchumi, 67, dia terpaksa bersengkang mata kerana sudah menjangka rumahnya bakal dinaiki air kira-kira pukul 2 pagi.
“Apabila melihat air sudah naik sehingga paras dada, saya bersama anak dan cucu segera mengangkat semua barangan ke tingkat atas rumah.
“Ini kali keempat banjir berlaku dan paling teruk menimpa kami pada tahun ini,” kata nenek kepada 10 cucu itu.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Selangor, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, pusat pemindahan berkenaan akan dibuka sehingga keadaan banjir surut sepenuhnya.
“Mangsa banjir itu terdiri daripada 12 lelaki dan wanita dewasa, enam kanak-kanak dan lima warga emas.
“Selain APM, semua urusan mangsa terutama makanan dan tempat tinggal akan diselia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakarat (JKM),” katanya.
Sementara itu di SEREMBAN, seramai 178 penduduk terjejas dalam kejadian banjir kilat yang berlaku awal pagi semalam di tiga buah daerah di Negeri Sembilan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Fazlisyah Muslim berkata, tiga daerah tersebut ialah daerah Tampin, Jempol dan Kuala Pilah ekoran hujan lebat sejak lewat malam kelmarin.
“Di Kampung Orang Asli Langkap, Kuala Pilah, tujuh buah rumah terjejas dengan melibatkan 34 orang mangsa manakala di Kampung Air Taling, melibatkan 10 buah rumah dengan 21 mangsa. Manakala di Kampung Batu 10 dan Batu 12, Kepis, Jempol sebanyak 10 buah rumah terjejas melibatkan kira-kira 20 mangsa.
“Namun, di Tampin iaitu di Felda Bukit Rokan 2,4 dan 7 pula sebanyak 23 rumah melibatkan 103 mangsa namun, pihak APM masih belum mendapat maklumat penuh kerana anggota masih dalam operasi pemindahan mangsa yang terjejas,” katanya ketika ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu di PONTIAN, sistem perparitan yang sempit dan tidak mampu lagi menampung takungan air ketika hujan menjadi masalah utama banjir kilat di Kampung Parit Pasir Baru di sini yang berlarutan sejak 20 tahun lalu.
Situasi yang dialami oleh 80 penghuni itu bertambah buruk apabila dalam bulan ini sahaja sebanyak lima kali banjir dan menyebabkan banyak peralatan rumah serta perabot ditenggelami air.
Seorang penduduk, Nawab Unos, 46, berkata, hujan dalam tempoh singkat iaitu 20 minit menyebabkan parit besar cepat dipenuhi air dan berlakunya limpahan ke rumah penduduk berhampiran.
Katanya, sistem saliran yang sedia ada di Kampung Parit Pasir Baru tidak mampu lagi menampung jumlah air dari Bandar Pekan Nanas ditambah pula dengan projek pembangunan sekitar kawasan berkenaan.
“Keadaan ini menyebabkannya kampung ini diibaratkan sebagai ‘dumping’ bagi menerima aliran air yang datang dari pelbagai arah dan akhirnya penduduk kampung menerima kesan.
“Kami sebenarnya sudah bosan dan muak dengan pelbagai cadangan pelbagai pihak namun sehingga ini belum menunjukkan sebarang tindakan yang dapat menyelesaikan masalah,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Sapiee Komari, 58, berkata, penduduk sentiasa cemas dan bimbang untuk keluar berkerja kerana bimbang banjir boleh berlaku apabila hujan mulai turun dengan lebat pada awal pagi.
“Kami amat berharap mereka yang berkepentingan termasuk pihak kerajaan negeri dapat padang melihat dengan lebih dekat permasalahan ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Jumadi Roslan, 40, mahu campur tangan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu.
Dia juga berharap masalah banjir di kampungnya ada jalan penyelesaian kerana penduduk sudah lama menderita kerana terpaksa berhadapan dengan banjir kilat pada setiap tahun.
“Sekurang-kurangnya buatlah satu perancangan mengurangkan kapasiti air yang masuk ke dalam saluran yang sama supaya masalah ini tidak semakin teruk dan berlaku lagi,” katanya.