HULU TERENGGANU: Penduduk di beberapa buah kampung di daerah ini terpaksa ‘tidur-tidur ayam’ dan berjaga sepanjang malam ekoran bimbang rumah mereka ditenggelami banjir.
Kerisauan mula menyelubungi mereka sejak petang semalam setelah air Sungai Telemong melimpah berikutan hujan lebat yang kembali melanda daerah ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa penempatan di sekitar Telemong sudah dinaiki air antaranya Matang, Kepah, Tengkawang dan Kuala Ping namun tiada mangsa dipindahkan setakat pukul 10 pagi ini.
Seorang penduduk, Nur Suriana Abdul Ghani, 20, berkata, dia bersama empat ahli keluarga lain tidak dapat melelapkan mata selepas rumah mereka di Kampung Kepah dinaiki air sejak pukul 8 malam tadi.
Katanya, kerja-kerja mengemas barang sudah dilakukan mulai pukul 7 malam sebagai persediaan awal menghadapi banjir.
“Emak tidak tidur langsung malam tadi kerana risau paras air naik mendadak dan saya pun setiap jam terjaga daripada lena.
“Pagi ini pekarangan rumah dinaiki air setinggi kira-kira satu meter dan turut terjejas di bahagian dapur, kami sekeluarga bersiap-sedia untuk berpindah pada bila-bila masa kerana paras air semakin meningkat,” katanya ketika ditemui hari ini. – UTUSAN ONLINE