PASIR GUDANG: Kira-kira 77 nelayan masyarakat Orang Asli Kuala Masai berdepan masalah lambakan hasil laut yang tidak terjual sekali gus menyebabkan pendapatan mereka terjejas sehingga 80 peratus.
Pengerusi Persatuan Nelayan Orang Asli Kuala Masai, Kelah Lah berkata, nasib sama dialami para peniaga Pasar Bayu, Tebrau sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu.
Katanya, situasi itu menyebabkan pendapatan penduduk di kampung berkenaan terjejas kerana majoriti mereka adalah nelayan.
“Kami berharap pemborong atau mana-mana pihak dapat membantu dengan membeli hasil laut yang diperoleh secara harian terus tanpa penglibatan orang tengah.
“Ini kerana apabila kami menghantar hasil laut ke pasar berhampiran seperti Pasar Bayu, mereka menolak membelinya.
“Alasan yang diberi adalah mereka juga menghadapi masalah kewangan ekoran jumlah pengunjung dan pembeli di pasar berkenaan berkurangan sejak PKP dilaksana,” katanya ditemui pemberita di Kampung Orang Asli Kuala Masai, di sini hari ini.
Tambahnya, sebelum ini nelayan di kampung berkenaan memperoleh pendapatan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan, namun kini pendapatan dianggarkan sekitar RM700 hingga RM1,000 sahaja.
Katanya lagi, selain pelaksanaan PKP, penternakan kupang yang diusahakan nelayan kampung berkenaan turut terjejas akibat satu projek pembangunan.
“Selain daripada keadaan air yang semakin kotor, projek penambakan turut mewujudkan bahan kimia dalam air di kawasan berkenaan.
“Selepas tamat kerja penambakan itu, mereka membina sebuah benteng bagi melindungi kawasan penternakan kupang ini,” katanya.
Tambahnya, jika benteng berkenaan tidak dibina, majoriti daripada kupang berkenaan rosak dan nelayan mengalami kerugian hingga 90 peratus.
“Kami berharap masalah yang dihadapi tidak berlarutan kerana semua keluarga nelayan yang tinggal di kampung ini menampung hidup keluarga dengan hasil laut,” katanya. – UTUSAN ONLINE