KUALA LUMPUR: Pendatang asing tanpa izin (PATI) melibatkan 15 negara sumber layak memohon pelan rekalibrasi yang bermula 16 November lalu hingga 30 Jun tahun depan.
Antaranya Bangladesh; Indonesia; Thailand; Kemboja; Nepal; Filipina; Loas; Vietnam; Pakistan; Myanmar; Sri Lanka; India; Kazakhstan; Uzbekistan dan Turkmenistan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pelan rekalibrasi itu melibatkan program PATI pulang secara sukarela dan tenaga kerja bagi membenarkan mereka bekerja secara sah.
Menurutnya, bagaimanapun, program itu hanya melibatkan PATI di Semenanjung manakala bagi Sabah dan Sarawak tertakluk kepada Seksyen 64 Akta Imigresen.
“Tiada vendor atau pihak ketiga yang dibenar menguruskan pelan tersebut. Sebarang urusan hanya melalui Jabatan Imigresen serta Jabatan Tenaga Kerja.
“Mereka yang ingin memohon boleh membuat temu janji dengan dua agensi berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, empat sektor melibatkan pembinaan, perkilangan, pertanian dan perladangan terlibat dalam program rekalibrasi tenaga kerja.
Jelas beliau, Jabatan Imigresen akan memastikan majikan yang memohon tidak berada dalam senarai hitam agensi tersebut.
“Diingatkan selepas 30 Jun 2021, Imigresen akan melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya dengan operasi secara besar-besaran.
“Mana-mana majikan yang didapati ingkar selepas tempoh pelaksanaan akan didenda RM50,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali manakala mereka yang didapati menggajikan lebih daripada lima PATI akan dikenakan hukuman sebat,” ujarnya.
12 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan pelan rekalibrasi PATI dilaksanakan bagi memulihkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Hamzah berkata, program itu tidak membabitkan kos kerajaan sebaliknya kerajaan dijangka memperoleh kutipan hasil sebanyak RM95 juta daripada kompaun serta bayaran-bayaran lain yang dikenakan terhadap PATI dan majikan menerusi pelan berkenaan.
Menerusi program itu, kata beliau, kementeriannya bersama Kementerian Sumber Manusia dapat mengumpulkan data dan taburan PATI di negara ini bagi tujuan penguatkuasaan menyeluruh.
“Program ini bagaimanapun tidak menggugat pasaran dan peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri serta terjamin berdasarkan nisbah pekerja tempatan dan asing.
“Kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat tempatan bagi mengisi kekosongan tenaga kerja dalam semua sektor ekonomi,” katanya. – UTUSAN ONLINE