TANAH MERAH: Liputan internet yang lemah di kawasan Gual Ipoh dekat sini menyebabkan penduduk di Kampung Bukit Petai 7 terpaksa mencari alternatif termasuk mendirikan khemah di atas bukit dan memanjat pokok semata-mata mahu mendapatkan liputan lebih baik.
Seorang bapa misalnya terpaksa mendirikan khemah dan menyambung wayar elektrik sepanjang hampir 20 meter di puncak bukit belakang rumahnya kerana mahu memudahkan anaknya mendapat capaian internet lebih baik untuk menyiapkan tugasan belajar.
Mohd. Azmi Ahmad, 48 berkata, dia tidak dapat menghantar anaknya, Nurlieda Khaleeda Mohd. Azmi, 20, pelajar tahun dua Diploma Teknologi Makmal Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ke bandar Tanah Merah seperti kebiasaan kerana laluan utama keluar masuk kampung mereka dinaiki air.
“Saya pasang kanopi di atas bukit dan sambung bekalan elektrik dari rumah bagi memudahkan anak saya memasang komputer riba selain membuka kipas bagi mengelak gangguan nyamuk.” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Malah seperti sudah menjadi rutin Nurlieda Khaleeda mendaki bukit di belakang rumahnya setiap hari termasuk untuk mengambil ujian secara dalam talian.
“Sebelum ini, saya akan keluar ke Bandar Baru Tanah Merah untuk belajar menggunakan Google Meet dan duduk di dalam kereta sehingga kelas tamat,” ujarnya.
Menurut Nurlieda, selain PKPB, faktor hujan berterusan sejak empat hari lalu menyukarkan dia keluar ke bandar Tanah Merah biarpun jaraknya hanya tiga kilometer dari rumah.
Sementara itu, seorang peniaga online, Mohd. Rawi Ahmad, 40, berkata, dia terpaksa membina sebuah pondok di atas pokok gara-gara kampungnya tiada liputan rangkaian internet di kawasan rendah.
Menurutnya, ketika dia pulang ke kampung sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu, perniagaan onlinenya tergendala gara-gara masalah liputan rangkaian Internet.